CERPEN 10 (RM 12.50)
Bunyi kokokan ayam mengejutkan aku daripada lena. Tubuh
kecilku bingkas bangun walaupun kedinginan pagi itu berusaha memujukku untuk
melayan aksi-aksi menarik dalam mimpi. Mujur semangatku lebih handal menangkis
semua godaan itu. Aku pantas mencapai lampu minyak tanah buatan asli ayah yang
disimpan di tepi dinding bersebelahan dengan mancis. Lampu itu banyak berjasa
meskipun asal usulnya daripada bekas botol kaca sos cili yang dikutip di tepi
jalan hasil buangan orang. Aku menyalakan pemetik api lalu membakar sumbuh
lampu itu. Cahaya oren kekuningan menerangi ruang tamu rumah. Adik, kakak,
abang, mak dan ayah masih berbaring di atas lantai papan.
Ayah dan mak yang baring di ruang tamu hanya menoleh ke
arahku dan menyambung semula tidur mereka. Aku memasukkan mancis ke dalam poket
seluar panjangku dan terus berjalan keluar. Aku mengatur langkah untuk menuruni
anak tangga uzur alah lif dan banyak mengakibatkan aku jatuh itu. Kesejukan
embun pagi serta bunyi-bunyian di waktu subuh mengirigi langkahku sehingga aku
tiba di bawah pokok mangga di halaman rumah. Aku memerhati sekitar lingkungan
bawah pokok mangga itu perlahan-lahan. Buah mangga air kelihatan
kehijau-hijauan apabila tersuluh oleh lampu itu. Hujung bajuku yang berada di
bahagian depan ku gigit agar mempunyai ruang untuk menyimpan buah mangga itu.
Pantas saja tanganku mengutipnya dan memasukkan mangga itu di ruangan baju yang
ku jadikan sebagai bakul itu. Aku memegang hujung baju yang aku gigit itu
kerana buah mangga sudah bertambah berat. Aku meneruskan pencarian buah mangga.
Aku akan meletakkan lampu ke atas tanah jika menjumpai buah mangga. Ada juga
buah yang kubuang kerana sudah buruk atau dah dirasmikan ulat
.
Selepas berkali-kali mengelilingi pokok buah mangga itu,
aku pun mengorak langkah naik semula ke rumah dengan senyuman lebar. Tiba saja
di ruang tamu, mak sudah kedengaran sibuk meniup api menggunakan buluh silinder
itu. Ayah, kakak dan abang masih lena. Aku meletakkan lampu ke lantai dan
kususuli dengan mengeluarkan buah mangga satu persatu ke dalam besin yang
berada di tepi dinding berhampiran laluan ke dapur. Kemudian, aku memegang
lampu tadi lalu meniupnya dengan tenaga angin paling kuat daripada mulutku
sehingga api lampu itu terpadam. Seraya itu, aku berdiri lalu menepuk-nepuk
baju yang dilekati kotoran bawaan buah mangga itu berkali-kali dengan tangan
yang sebelah lagi.
Setelah itu, aku menyimpannya di tempat asal berserta
mancis. Lampu itu memang akan dipadam setiap kali usai digunakan dan digantikan
dengan lampu yang lebih kecil sumbuhnya untuk menjimatkan minyak tanah. Ayah
sudah berkali-kali berpesan untuk meniup lampu itu bukan setakat jimat tapi
untuk selamat daripada kebakaran. Pesanan itu sangat kuat tersemat di hatiku
sehingga sentiasa terngiang-ngiang di telingaku. Lantai dapur juga lebih kurang
keadaannya dengan tangga rumahku. Kata orang, silap-silap hari bulan kaki akan
tertanam hingga ke paras paha. Aku turun ke dapur memandangkan lantai dapur
lebih rendah kira-kira setengah meter daripada paras lantai ruang tamu.
“Jaga kaki tu, tengo mana nak pijak dulu,” pesan mak
sebaik aku turun ke ruangan dapur.
Aku tak menjawab tapi mengiyakannya dengan mengatur
setiap langkah. Aku sedikitpun tak jemu walaupun pesanan itu seperti pesanan
ayah, seringkali kudengar. Aku mencedok air di dalam baldi menggunakan mangkuk
yang terapung lalu menuangkannya ke besin yang berisi buah mangga tadi.
Beberapa kali kulakukan perkara yang sama sehingga besin itu penuh barulah aku
mula membasuh buah mangga itu satu persatu hingga selesai. Siang sudah mulai
memunculkan dirinya. Ayah duduk di bangku kaki lima sambil menghisap rokok
tembakau. Aku, kakak dan abang siap berpakaian seragam sekolah.
Kedengaran bunyi ayam berebut-rebut mematuk buah mangga
yang ku reject di halaman rumah. Aku tersenyum. Syukur aku lebih awal bangun
dan menangi persaingan dengan memungut buah mangga itu. Kalau tak, tentu
ayam-ayam itu sudah dulu menjamah mangga yang elok. Kami bertolak ke sekolah
berbekalkan masakan mak dan pesanan ayah. Kanak-kanak sekampung denganku memang
sudah terbiasa dengan jarak tiga kilometer dari rumah ke sekolah sekali
perjalanan. Pemandangan ketika meniti jambatan gantung, melalui sungai dan
jalan raya belum
berturap sedikit sebanyak memujuk penat.
Perjalanan yang mencabar itulah pentingnya bekalan nasihat
daripada mak dan ayah.Kami bertiga tiba ke sekolah awal. Aku tak pernah
memegang rekod lewat ke sekolah walau aku masih kecil untuk melalui perjalanan
jauh. Malah staminaku pasti sudah kuat.Bayangkan saja keseluruhan perjalanan
enam kilometer sehari. Lima kali sehari pula tu. Aku juga hairan. Rakan-rakan
sebaya yang tinggal berhampiran dengan sekolah pun selalu kena denda dek lewat.
Manja barangkali, aku pun tak pasti. Lonceng sekolah berbunyi tanda waktu rehat
telah tiba. Seperti biasa, aku mengeluarkan buah mangga yang kukutip dan
mempromosikan kepada rakan-rakan sekelas. Aku dikerumuni dan sekejap saja
jualanku laku. Rakan-rakanku yang kehabisan sanggup meminta sedikit bahagian
mangga itu daripada rakan-rakan yang berjaya membelinya. Mereka mencecah buah
mangga itu dengan garam dan cili yang kusediakan di dalam plastik kuih. Aku
biarkan saja mereka menikmati buah mangga itu beramai-ramai.
Aku bergegas ke arah kelas kakak dan kemudian ke kelas
abangku untuk membahagikan wang jualan seperti yang selalu kubuat. Dua ringgit
aku peroleh kesemuanya. Masing-masing memperoleh 50 sen seorang termasuk
bahagian untuk tabung yuran sekolahku. Aku dan adik beradikku tak pernah
meminta wang belanja ke sekolah. Bekalan yang ibu sediakan sajalah menjadi
belanja kami. Lagipun, kami layak menerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di
sekolah. Mak juga melarang kami untuk menerima huluran percuma daripada rakan-
rakan atau orang yang tak dikenali apatah lagi meminta-minta. Selesai saja
pembahagian wang, aku membeli mee sup 50 sen di kantin sebagai lauk dan sayur.
Maklumlah, bekalan yang mak sediakan berupa nasi kosong. Meskipun begitu,
makanan itu lebih baik daripada makan ubi saja atau tak ada makanan. Aku jarang
makan makanan RMT kerana aku pernah sakit teruk dan
muntah di sekolah selepas makan makanan bantuan itu.
Mungkin kebetulan perkara itu berlaku, tapi aku sudah
fobia. Antara rakan sekelasku,hanya Rais yang menyindir makanan ringkasku itu.
Tapi telingaku dah tebal dengan caciannya. Asal dapat makan, kenyang, bukan
hasil curi, sudah. Hanya itu yang berlegar difikiranku. Mata pelajaran akhir
hari itu ialah bahasa Melayu. Cikgu Aisyah menguji kami membaca seorang demi
seorang sebelum pulang. Rais mendapat giliran ujian membaca sebelum aku. Lama
juga Rais berada di depan tanpa suara. Cikgu Aisyahmembiarkan dia berdiri di
hadapan dan terus memanggil giliranku. Aku membaca ayatdalam teks yang berada
di atas meja guru sebaik mungkin.
“Hah, murid-murid, contohi Anis. Anis tak sekolah tadika
tau. Bukan macam Rais ni,” puji Cikgu Aisyah. Habiskembang hidung aku apabila
dipuji sebegitu. Rais menjelingku. Aku buat-buat tak tahu.Nasib baiklah aku
sudah awal-awal diajar di rumah. Aku pulang dengan gembira dan menceritakan hal
itu pada mak dan ayah. Mereka turut memujiku, hatiku tambah kembang, bangga.
Hari jumaat peluang akhir bagiku menjual secara curi-curi di sekolah.
Aku sudah awal-awal memasang niat melunaskan yuran hari
itu selepas kelas habis kerana guru-guru biasanya masih berada di bilik guru.
Waktu rehat hari itu, aku dan kakakku makan bersama-sama di belakang bangunan
kelas.
“Kasihannya,” kata pak cik pekebun yang lalu di situ.
Kami hanya
berpandangan dan tersenyum ke arah pak cik itu dan terus menjamah nasi berlauk
air dan garam. Beberapa minit setelah usai makan, lonceng berbunyi petanda
rehat telah tamat. Kami terpaksa bergegas ke kelas masing-masing. Sesi
pembelajaran dan pengajaran tamat awal hari itu kerana adanya solat jumaat. Aku
memasukkan buku ke dalam begku. Mukaku bertukar merah. Aku baru perasan, duit
dalam plastik yang kusimpan dalam beg sudah tiada. Aku mula gelabah.
Rais yang berada di ambang pintu kelas menghala ke arahku
lalu menjelirkan lidah sambil memicit pipinya dan terus berlari meninggalkanku.
Aku yakin dialah pelakunya. Hatiku benar-benar terguris dengan perbuatan rakan
sekelasku itu. Hasil wang yang kukumpul hasil kerja kerasku selama ini untuk
membayar yuran kelas lenyap begitu saja. Aku duduk di bangku kayu kelas dan
menangis teresak-esak untuk melepaskan rasa sakit di hati. Tiada siapa yang
sedar akan hal itu kerana murid-murid sudah keluar. Aku merasa bingung kerana
tarikh akhir pembayaran yuran kelas itu, isnin depan. Esok cuti, tak dapat jual
di sekolah. Kalau nak jual dalam jumlah yang banyak pada hari isnin, aku tak
mungkin mampu mengangkat melebihi berat
sepuluh biji mangga, buku teks dan bekalan dengan
perjalanan yang jauh.
Jika kakak dan abangku bantu sekalipun, hasil jualan tak
mungkin mencecah jumlah yuran tu dalam sehari. Tangisanku semakin kuat apabila
memikirkan hal itu. Bagi aku, 12 ringgit 50 sen itu sangat mahal. Aku bukannya
anak orang berada. Senang saja dapatkan nilai wang sebegitu. Minta sesuatu
daripada mak pun berat mulutku menyuarakannya. Aku mencapai beg dan mula
berjalan lesu keluar dari kelas untuk pulang kerana aku takut mak akan risau
kalau aku pulang lambat. Aku mengesat air mata di pipi yang masih bersisa
dengan kedua belah tanganku sambil meneruskan langkah lemah. Sepanjang
perjalanan pulang, aku berfikir cara untuk menamatkan serabut di kepalaku.
Namun, tiada sebarang ilham kuperoleh. Agak petang juga
aku sampai rumah dengan kepantasan langkah kaki budak kecil berumur tujuh
tahun. Aku tertidur dengan persoalan yang belum terjawab. Mak perasan
perubahanku sejak aku balik. Hari sudah gelap sewaktu mak mengejutkan aku. Mak
menyuruh aku makan. Aku makan sikit saja dan tidur semula. Aku terjaga apabila
bunyi seseorang meniup menggunakan buluh silinder di dapur. Aku tahu itu mak
tapi aku bingkas bangun untuk melihatnya sendiri. Mak memandang ke arahku lalu
menghulurkan kuih
ubi kukus yang dah siap dimasak. Aku memakannya dengan
lahap.
Kemudian, aku membantu mak meniup api sambil mengesat air
mata yang mengalir dek asap dapur kayu itu. Peniup api buluh itu kusimpan di
tepi apabila api sudah marak dan mengambil kuih yang tertimbun di besin. Ada
juga kuih yang mak dah susun dalam plastik kuih. Awal pagi itu, aku menemani
mak menjual kuih dari rumah ke rumah. Kami pun balik ke rumah setelah siap
menjual. Lebih dua puluh lima ringgit juga pendapatan hari itu walaupun ada
juga yang dihutang orang. Keesokan harinya, kami menjual lagi tapi kali ini ada
sayur dan kuih jenis lain sebagai tambahan. Aku sangat gembira tetapi masih
sukar untuk menyuarakan permintaan wang kepada mak. Sebelum ke sekolah pada
hari isnin, mak menghulurkan wang 13 ringgit kepadaku termasuk 50 sen sebagai
belanja sekolah. Kakak dan abang juga mendapat 50 sen seorang. Aku sangat
terkejut.
Menurut mak, aku mengigau sambil menyebut-yebut yuran tu.
Betapa leganya hatiku. Di sekolah, aku sentiasa membawa duit itu bersama.
Sehinggalah aku berjaya bayar yuran itu. Aku keluar daripada daripada bilik
guru sambil menghembuskan nafas lega. Hari itu, aku balik ke rumah bersama-sama
rakan sebayaku. Kakak dan abangku masih ada kelas tambahan kerana sudah tahap
dua iaitu masing-masing darjah empat dan enam. Aku pula terkecuali kerana masih
tahap satu. Dari jauh lagi aku sudah memanggil-manggil mak aku. Mak yang sedang
baring melunaskan lelah di ruang tamu tetap tangkas menyahut panggilanku. Aku
pantas menaiki tangga uzur rumah dan menanggalkan kasut di kaki lima. Kemudian
aku berlari masuk mendapatkan mak.
“Terima kasih mak, Anis dah bayar yuran tadi,” laporku
teruja dan dalam keadaan berpeluh. Mak memandangku sambil tersenyum. Aku
meletakkan beg di tepi dinding dan baring di bawah ketiak mak. Kepalaku
diusapnya lembut sehingga aku tak sedar, aku terlelap dengan belaian paling
indah itu.
Comments
Post a Comment