CERPEN 03 (PADANG)

Mendung membungkus siang. Mengulit semua kenangan silam yang bermain di fikiran. Irfan menghela nafas panjang yang berat. Seandainya dia tidak mengikut nafsu amarah pasti kejadian ini tidak akan terjadi. Jikalau dia tidak terlalu mementingkan ego yang bersarang dalam hati, pasti tragedi ngeri itu tidak akan berlaku. Irfan melemparkan pandangan jauh-jauh ke arah padang sekolah di hadapannya.

“Irfan, kamu buat apa di sini?” Mata gelap bundar Cikgu Kumar tepat memandang wajahnya.
Irfan membatu. Batu-batu jalan yang dikutipnya dibaling jauh-jauh ke arah padang.
“Cepat masuk kelas. Saya hendak mengajar.” Cikgu Kumar berlalu dari situ.

Anak mata Irfan memanjat setiap inci tubuh guru India yang bergerak pergi.
Itulah guru yang paling dibencinya. Guru yang paling mengambil berat tentang dirinya. Guru itulah yang sentiasa memegang tangannya mengajak ke kelas serta tidak jemu menghadiahkan pensil dan pemadam setiap hari.

Tetapi itu semua cerita dahulu. Cerita ketika tawa dan jerit pekik Cikgu Kumar masih kedengaran. Hari ini sama seperti hari-hari sebelumnya, Irfan duduk bersila di perhentian bas di hadapan sekolah. Betul-betul menghadap padang sekolah yang menyimpan banyak rahsia dirinya serta kenangan bersama Cikgu Kumar.
“Cikgu, saya tidak suka belajar. Saya mahu kerja.” Irfan memandang Cikgu Kumar dengan pandangan yang tajam. Jari jemarinya meramas-ramas baju yang sudah koyak rabak dimamah waktu.

“Jikalau kamu hendak kerja, kamu mesti belajar. Tanpa pelajaran, kamu tidak akan berjaya!” Nada suara Cikgu Kumar  sedikit keras. Tangan besar berbulu itu menarik tubuh kecilnya supaya duduk di atas kerusi kayu lama. Irfan menggetap bibir. Air matanya mulai bertakung. Sejuk kipas angin yang ligat berpusing seakan tidak dirasa oleh Irfan. Air keringat merembes keluar dari lehernya membasahi kolar baju sekolah yang sudah lusuh. Geram pada cikgu yang seorang ini makin membuak.


Mata Irfan masih melihat ke arah padang, tanpa kelip. Semua memori menerjah ke dalam kotak fikirannya.

“Pak Irfan, sila makan.”

Lamunan Irfan terhenti seketika. Ditatapnya wajah Ying, gadis berketurunan cina yang berdiri di sisi.

“Pak Irfan, ini buburnya.” Diletakkan semangkuk bubur nasi di sebelah Sani. “Makanlah.” Ying berlalu sambil mengukir sebuah senyuman.

Irfan mengambil mangkuk pakai buang berisi bubur itu. Sesekali matanya memandang Ying yang asyik melayan pelanggan di gerai kecil di tepi jalan. Mangkuk itu ditunggangnya ke atas, lantas menghirup semua bubur panas sehingga habis.

Melekat butir-butir bubur nasi pada jambang lebat hitam bersulam putihnya. Pak Irfan tidak peduli. Matanya tidak lepas-lepas memandang padang.

“Irfan, mari makan bersama saya.”

Mata Irfan membulat.

“Duduk di sini, saya tempahkan mi goreng untuk kamu.” Cikgu berketurunan India itu menguntumkan sebuah senyuman lantas menuju ke arah dapur kantin sekolah. Irfan terkebil-kebil. Tidak pernah seorang pun manusia yang melayannya sebaik Cikgu Kumar. Walaupun berlainan agama dan keturunan, Cikgu Kumar sentiasa menolongnya. Tetapi, entah mengapa dirinya yang tidak boleh bersikap baik dengan Cikgu Kumar. Mungkin kerana Cikgu Kumar terlalu baik terhadap dirinya.

Kalaulah Irfan tidak degil, pasti Cikgu Kumar tidak akan pergi dengan hati yang duka. Jikalau Irfan  tidak nakal, pasti Cikgu Kumar tidak akan pergi dengan luka metah merah penuh di muka. Namun begitu, semua itu seolah-olah berbayar. Kini Irfan menjadi penjaga tetap padang Sekolah Kebangsaan Haji Awang Kechil,
Kereta lalu lalang di sepanjang jalan. Sesekali kedengaran bunyi hon bas yang memberi isyarat untuk berhenti mengambil penumpang. Bunyi bising kenderaan bagai tidak masuk ke gegendang telinga Irfan. Deria pendengarannya seakan-akan mati tatkala berada dalam ruang khayalannya sendiri.

“Encik, saya lapar.” Itulah Irfan 30 tahun dahulu. Meminta sedekah di sepanjang jalan di hadapan padang sekolah. Apabila lampu merah naik, itulah detik keemasan yang ditunggu oleh Irfan  untuk menerjah deretan kereta yang menunggu giliran untuk bergerak. Akan diketuk setiap tingkap kereta, lori, bas untuk menagih simpati sesuap nasi. Ayahnya hilang entah ke mana, ibu pula lumpuh separuh badan. Irfanlah punca pendapatan dia dan ibu. Hasil daripada meminta sedekah itulah, Irfan dapat membeli makanan dan ubat buat ibu.

Kereta makin sesak. Jambang lebat hitam bersulam putih dilurutnya perlahan-lahan. Angin similir semakin tidak dirasai.

“Pak cik, saya lapar.” Irfan menarik kaki seluar seorang pemuda yang membonceng motosikal di hadapannya.

“Irfan!”

Irfan mendongak mukanya, terkejut apabila lelaki tersebut memanggil namanya.

“Kamu buat apa?” Topi keledar lelaki tersebut dibukanya perlahan.

“Cikgu Kumar!” Hati Irfan menjerit.

Irfan menjadi tidak keruan, nampaknya Cikgu Kumar sudah mengetahui pekerjaannya sehari-harian. Dia tidak mahu cikgu itu tahu. Dia tidak mahu dihina sebagai peminta sedekah.

“Irfan, peminta sedekah!”

“Irfan, peminta sedekah!”

Berdekah-dekah rakan-rakannya ketawa sambil bangga melaungkan kata-kata menghina dirinya. Irfan tunduk. Bibirnya diketap rapat-rapat. Kerana guru penyibuk itulah dia berada di sekolah. Jika tidak pasti sekarang dia sudah bermain di padang bersama dua tiga ekor anak kucing liar. Kerana guru itulah dia dihina. Irfan benci guru itu!

Kolong langit pada ketika itu suram. Warna-warna pelangi kian pudar dan rata berdebu. Beberapa orang kanak-kanak sedang bermain di padang sekolah. Masing-masing tidak menghiraukan suasana kelam seakan mahu hujan itu.

“Saya benci cikgu!” Irfan menjerit di dalam kelas persis orang yang dirasuk hantu.

“Irfan!” Nada suara Cikgu Kumar kian meninggi. “Sampai bila kamu mahu jadi peminta sedekah?” Muka Cikgu Kumar merona merah.

“Cikgu tidak kenal saya!” Irfan membalas.

Kipas yang ligat berpusing seakan tidak berfungsi. Angin Sumatera yang sakan bertiup ibarat membawa api yang membahang. Peluh memercik di dahi Cikgu Kumar.
“Anak murid seorang ini memang begini. Jikalau tidak buat masalah, bukan Irfanlah namanya. Namun, inilah anak murid yang paling dia sayang.” Cikgu Kumar mengurut dadanya yang semput.

Tiga puluh tahun yang lalu, di padang itu, segalanya berubah. Hanya sekelip mata tragedi itu berlaku.

“Hoi, budak!” suara keras Badi menerjah gegendang telinga Irfan. Irfan menoleh ke belakang. Selipar hijau berlumut yang berada di tangannya dipakai semula.

“Ada apa?”

“Mana duit?” Itulah Badi, persis ‘along junior’ yang mengutip duit pada peminjamnya. Bezanya, Irfan tidak pernah terhutang budi pada Badi, apatah lagi meminjam wang.

“Duit apa?” Irfan melihat di belakang Badi. Ada satu, dua tiga ... lima orang jumlah konco-konco Badi.

“Aku tidak mahu beri kamu semua. Ini duit aku!” Irfan berlari ke perut padang sekuat hati. Pada ketika itulah segalanya bermula dan berakhir. Beberapa das tumbukan tepat mengena tubuh renek Irfan. Dalam pergelutan itu, samar-samar Irfan melihat Cikgu Kumar berlari ke arahnya. Cuba meleraikan pergelutan yang terjadi. Namun, tubuh tua Cikgu Kumar tidak tegar menahan kudrat remaja Badi dan sekutunya. Di situlah Cikgu Kumar ditumbuk, diterajang sehingga menghembuskan nafas terakhir.

Panas mula menggigit badan. Jauh di dalam kawasan sekolah, di hadapan padang kelihatan seorang guru lelaki muda sedang membimbit sebuah beg. ‘Pasti guru itu lebih muda daripadaku,’ hati kecil Irfan berbicara sambil tangannya leka mengerunas keruping pada lengan sehingga terpercik darah metah merah di bajunya. Tidak lama kemudian, muncul pula seorang kanak-kanak lelaki, berpakaian sekolah lengkap. Kanak- kanak itu menghampiri guru tersebut, tangan kecilnya diangkat ke arah beg guru tersebut, persis meminta sesuatu. Sesaat kemudian, beg tersebut beralih tangan dan anak kecil itu tersenyum lebar.
Fikiran Irfan menerawang jauh. Menggamit kembali memori yang hampir terkubur dek masa.

“Irfan, tolong saya ambil barang ini.” Pinta Cikgu Kumar sambil membongkok mengambil kunci kereta yang terjatuh. Di kiri kanan tangannya penuh segala macam benda untuk dibawa ke bilik guru.

Irfan hanya melihat dari jauh. Sedikit pun dia tidak berganjak. Irfan buat tidak peduli, persis seorang yang lumpuh ketujuh-tujuh deria.

“Irfan, tolong saya.” Pinta Cikgu Kumar lagi. Dan kali ini Irfan terus berlari. Berlari jauh-jauh daripada Cikgu Kumar. Irfan berlari menyorok di bawah perdu buluh tidak jauh dari tempat Cikgu Kumar memparkirkan kereta.

‘Kelepuk!’

‘Cikgu jatuh!’ Jerit hati kecil Irfan. Cikgunya sudah tua, matanya sudah kabur, uban juga mula bertabur, sama seperti dirinya sekarang. Itu semua tidak meninggalkan kesan padanya. ‘Apa guna menolong orang, dirinya sendiri juga tidak ditolong. Ada orang kasihan melihat dirinya meminta sedekah di jalanan?’ Irfan mencebik.

Siang mulai jatuh, senja pula naik. Mata Irfan masih tetap pada padang. Kawasan tanah lapang yang metah hijau berselut merah masih sama seperti tahun-tahun dahulu.

“Hoi, bagi aku bola itu!”

Irfan berpaling pada suara lantang tersebut. Seorang kanak-kanak yang sebesar dirinya mengejar seorang kanak-kanak yang lebih kecil.

“Jangan ambil bola aku!” Jerit kanak-kanak kecil tadi. Masing-masing berlari sekuat hari, yang kecil tidak mahu ditangkap, yang besar pula mahu menangkap.

Seketika kemudian, lebih ramai kanak-kanak sekutu dengan kanak-kanak besar itu datang mengejar kanak-kanak kecil dari segenap penjuru padang. Dari arah selatan, guru muda tadi terkocoh-kocoh berlari ke padang. Cuba meleraikan persengketaan itu.

“Tidak!” Jeritan Irfan menggemparkan seisi jalan juga padang dan kemudian Irfan berlari. Berlari sekuat hati, agar hilang semua memori silam pahit bersama peluh yang memercik! 

Comments

Popular posts from this blog

CERPEN 4 (ANDAINYA TAKDIR)

CERPEN 07 (SEBIDANG TILAM)